[Video] Covid-19: Polis tahan lelaki ‘kenduri kepala kambing’

|

views

  • Rakaman video menunjukkan suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai termasuk menikmati hidangan kepala kambing
  • Lelaki itu mempersoalkan isu kuarantin di rumah yang di kenakan

 

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki yang merakam video kenduri kepala kambing dan mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan di Langgar, di sini, petang tadi.

Lelaki berusia 49 tahun yang merakam video menggunakan telefon bimbitnya dikesan selepas pihak berkuasa mendapat maklumat berkaitan rakaman berkenaan.

Difahamkan, suspek ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang dihubungi, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan satu sidang media akan dibuat malam ini.

……………
Berita sebelum:

Polis cari lelaki rakam video ‘kenduri kepala kambing’

ALOR SETAR: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan video tular seorang lelaki mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan menghubungi pihak berkuasa segera.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya video itu dirakam di kawasan sekitar Langgar, di sini.

Katanya, polis meminta lelaki yang membuat rakaman video terbabit tampil ke balai berhampiran atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membantu siasatan.

“Jangan main-main, Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan untuk mengurangkan jangkitan wabak COVID-19 dan bukannya arahan sesuka hati.

“Kita minta orang ramai yang mengenali individu dalam video atau lelaki itu sendiri tampil secepat mungkin untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, tindakan lanjut akan dilakukan sekiranya lelaki itu tidak berbuat demikian.

Video yang berdurasi 57 saat menunjukkan lelaki itu sedang merakam video menunjukkan suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai termasuk menikmati hidangan kepala kambing.

Sambil melemparkan kata-kata kesat, lelaki itu mempersoalkan isu kuarantin di rumah seperti yang disarankan kerajaan sejak perintah itu berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Berkaitan ⇢