Enam gerabak tren kargo tergelincir di Tanjung Malim

|

views

  • Tren tersebut dalam perjalanan ke Ipoh dari Pelabuhan Klang
  • Perkhidmatan tren penumpang yang masih beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas
  • Tiada kemalangan nyawa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan

SEBUAH tren kargo dengan 43 gerabak pelbagai muatan tergelincir di Stesen Kereta Api Tanjung Malim, dekat Muallim pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata dalam insiden itu, enam gerabak terakhir tren itu tergelincir ketika sedang melalui stesen tersebut pada 6.55 pagi.

Beliau berkata tren tersebut dalam perjalanan ke Ipoh dari Pelabuhan Klang dan membawa pelbagai barangan termasuk tekstil dan peralatan kejuruteraan.

“Insiden kegelinciran itu telah mengakibatkan satu landasan terhalang.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren penumpang yang masih beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas ekoran insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Beliau berkata tiada kemalangan nyawa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah dimaklumkan.

“Siasatan juga telah dijalankan ke atas pemandu tren dan pembantunya yang terlibat dalam insiden itu,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memberitahu, kakitangan KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat.

Ini bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.

Selain itu, ia bagi memastikan operasi tren-tren penumpang tidak terjejas apabila beroperasi sepenuhnya selepas tempoh PKP nanti. – BERNAMA

Berkaitan ⇢