Covid-19: Polis tahan 20 individu leka berjudi, berhibur ketika PKP

|

views

  • 13 lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura, seorang lelaki Thailand dan 5 wanita Vietnam berumur 19 hingga 66 tahun itu ditahan
  • Mereka menjadikan kondominium yang diubah suai itu sebagai tempat berhibur dan berjudi

JOHOR BAHRU – Seramai 15 lelaki dan 5 wanita yang leka berjudi dan berhibur semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan dalam serbuan di sebuah kondominum, tengah hari semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang terdiri daripada 13 lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura, seorang lelaki Thailand dan 5 wanita Vietnam berumur 19 hingga 66 tahun itu ditahan pada 12 tengah hari, hasil maklumat awam.

“Dalam serbuan itu Polis merampas 2 pembesar suara, 2 televisyen, 2 mikrofon, wang tunai berjumlah RM56,400, 52 keping daun terup, dadah jenis ketamin dianggar seberat 34g dan syabu kira-kira 17g,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ayob Khan berkata semakan mendapati 7 daripada mereka memiliki rekod jenayah, judi, pelacuran dan dadah manakala 12 daripada mereka positif methamphetamine dan ketamin.

Beliau berkata siasatan mendapati semua mereka menjadikan kondominium yang diubah suai itu sebagai tempat berhibur dan berjudi bagi mengaburi mata pihak polis terutama dalam tempoh PKP.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 serta Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagi warga asing, mereka akan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sehubungan itu, Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak cuba mengingkari PKP dan mengambil kesempatan menganjurkan apa jua bentuk perjudian mahupun berkumpul untuk tujuan berhibur.

Berkaitan ⇢