Video Tutorial Jahit Topeng Mulut Dan Hidung Guru Jahit Malaysia Tarik Perhatian Penyelidik Amerika

|

views

Seorang pemilik sebuah sekolah menjahit, Ng Ching Ching menyedari ketika negara berdepan masalah pandemik Covid-19, negara kini juga mengalami masalah kekurangan topeng mulut dan beliau tahu cara untuk menghasilkan topeng yang dijahit sendiri daripada kain.

Bulan lepas, Ng yang mengendalikan sekolahnya di ibu negara menghasilkan satu video yang dimuatnaik ke laman YouTube menunjukkan cara untuk menjahit topeng mulut berkenaan.

Amat mengejutkan bahawa video berkenaan jadi perhatian sebuah agensi dikenali GetUsPPE sebuah gerakan di Amerika Syarikat (AS) yang operasinya dibiayai oleh doktor dan pakar penyelidik barisan hadapan di sana.

Video berkenaan yang bertajuk “DIY Covid-19 Fabric Mask (with Filter Pocket) Sewing Tutorial disenaraikan sebagai satu daripada cara atau langkah untuk orang ramai belajar bagaimana untuk menjahit topeng mulut sendiri.

“Saya gembira tutorial itu berguna, saya buat dengan sedaya upaya untuk ia boleh dilakukan dengan mudah supaya semua orang boleh menjahitnya termasuk mereka yang baru hendak belajar menjahit

“Saya tidak menjangkakan ia akan menerima lebih dari 1,000 tontonan pun sebenarnya,” kata Ng di dalam laporan portal The Star.

Video berkenaan selama tiga minit dimuatnaik pada 9 Mac lepas kini sudah menerima sebanyak 4 juta tontonan.

Menurut Ng, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan video pembejalaran selepas mendengar nasihat daripada seorang doktor di Taiwan yang mengatakan bahawa orang ramai sepatutnya menggunakan topeng yang dijahit dengan kain sementara topeng sedia ada hanya digunakan oleh petugas perubatan sahaja.

“Dr Chen menjelaskan bagaimana satu lapisan kain tidak berjahit antara helaian kain akan bertindak sebagai penapis virus untuk meningkatkan keberkesanan topeng mulut dan hidung yang dijahit,” katanya.

Dia turut menggalakkan semua orang belajar bagaimana untuk menjahit topeng berkenaan untuk supaya jumlah topeng mulut dan hidung perubatan mencukupi untuk petugas barisan hadapan.

“Ketika ini, para petugas kesihatan kita berdepan masalah kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk topeng muka dan hidung perubatan.

“Kalau orang ramai menggunakannya dengan banyak, bagaimana doktor dan jururawat dapat menggunakannya dengan bilangan yang cukup untuk memastikan kita selamat.

“Daripada kita menggunakan topeng mulut dan hidung perubatan, lebih baik kita menggunakan topeng yang dijahit sendiri yang boleh dibasuh dan digunakan semula,” kata Ng yang mengendalikan sekolah jahitan yang dikenali sebagai Maker’s Habitat. – TRI

Berkaitan ⇢