Hamzah Hargai Pengorbanan Tinggi Anggota Polis

|

views

Semua petugas di barisan hadapan yang bertugas ketika negara berdepan ujian hebat penularan wabak COVID-19 ini amat dihargai pengorbanan mereka kerana mereka bertugas dengan cemerlang serta tugas mereka diberikan penghargaan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Sehubungan dengan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga menyatakan setinggi penghargaan pihak kementerian kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mereka kerana berkorban ketika bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga menyampaikan rasa simpati kepada anggota pasukan itu dan ahli keluarga yang terkena jangkitan wabak COVID-19.

“Dalam masa yang sukar, saya berdoa kita semua diberikan kekuatan untuk berdepan dengan cabaran ini dan berharap anggota akan kembali bangkit dan sihat semula secepat mungkin,” katanya.

Datuk Seri Hamzah berkata kementerian akan memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka akan sentiasa dijaga dengan baik.

Anggota polis yang tidak mengira panas dan hujan bertugas dengan cemerlang untuk menguatkuasakan PKP.

Beliau meletakkan harapan tinggi kepada kebolehan pasukan polis untuk memberikan segala yang terbaik kepada negara sebagai frontliners yang diyakini untuk menguatkuasakan PKP.

“Saya berdoa agar usaha kerajaan dan semua daripada kita akan berjaya menghalang penularan jangkitan COVID-19 dengan berjaya.

“Saya bersyukur rakyat Malaysia memahami tentang pelaksanaan PKP dan pematuhannya secara keseluruhan amat baik. Saya berharap orang ramai juga faham akan tanggungjawab ini bukan bersandarkan di atas bahu anggota polis sahaja,” kata Datuk Seri Hamzah.

Beliau berkata kerjaya polis pada masa sekarang semakin mencabar dan mereka kini perlu berdepan bukan sahaja jenayah biasa tetapi juga ancaman dari kegiatan keganasan.

“Tugas polis juga menjadi semakin kompleks ekoran perkembangan dunia digital yang semakin luas,” katanya.

Rakyat juga menghargai dan mengiktiraf tugas polis apabila menyokong tindakan tegas pasukan itu dalam menangkap orang yang ingkar kerana kedegilan golongan berkenaan akan menyebabkan risiko penularan wabak COVID-19 sukar untuk dibendung. – TRI

Berkaitan ⇢