Wisma Putra Tegas Dengan Kedudukan Malaysia Di Laut China Selatan

|

views

Malaysia berpendirian bahawa setiap perselisihan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan harus diselesaikan secara damai.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia bertujuan untuk memastikan semua pihak dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan di perairan berkenaan.

Sehubungan itu katanya, perkara berkaitan isu tersebut mesti diselesaikan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Sebagai bekas Menteri Pertahanan saya amat sedar dan sedar akan keadaannya. Kita mesti mengelakkan kejadian sengaja dan tidak disengajakan di perairan ini.

“Walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang dan kapal di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan yang seterusnya boleh mengakibatkan salah perhitungan yang boleh mempengaruhi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) sebelum ini telah mengerahkan dua kapal perang ke Laut China Selatan.

Kapal perang itu dikatakan berada dekat dengan kawasan yang menjadi pertikaian di antara China dan Malaysia.

Minggu lalu, Haiyang Dizhi 8, kapal milik China dilihat melakukan tinjauan berdekatan dengan kapal eksplorasi dikendalikan syarikat minyak Malaysia, Petronas.

Situasi sama juga terjadi beberapa bulan yang lalu di Vietnam.

Berkaitan ⇢