[Video] Cari siapa tali barut PATI

|

views

POLIS meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti tali barut warga tempatan yang menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun barangan di sempadan negara.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mengenal pasti banyak lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand selain Langkawi, Kubang Pasu dan Alor Setar.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan orang ramai terutama masyarakat sekeliling dapat menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan terutama PATI bagi mengekang aktiviti itu.

“Saya minta orang awam berhenti jadi tali barut dan beri maklumat kepada kami dalam usaha untuk mengekang kemasukan mereka (PATI) ke negara ini.

“Sama ada membabitkan pendaratan di perairan atau jalan darat. Kita minta semua pihak membantu menangani masalah ini daripada terus berlarutan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, selepas tangkapan membabitkan etnik Rohingya pada awal bulan ini di perairan Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempertingkatkan kawalan di perairan negara bagi mengekang kemasukan PATI.

Menurutnya, setakat ini pihak berkuasa berjaya menyekat kapal yang membawa etnik Rohingya berkenaan mendarat di Langkawi.

“Justeru, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemasukan PATI yang cuba masuk ke negara ini supaya melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil dengan segera.

“Saya percaya mereka yang duduk di kawasan perairan, pintu masuk negara dan berhampiran lubang tikus ada maklumat berkaitan kegiatan ini dalam usaha mengekang kemasukan mereka ke negara ini,” katanya.

Dalam kejadian 5 April lalu, seramai 202 PATI yang terdiri etnik Rohingya ditahan APMM berhampiran penginapan Kampung Teluk Nibung, Langkawi kerana memasuki negara ini secara haram.

Berkaitan ⇢