[Video] Ahli politik bergelar Datuk didakwa subahat culik Datuk Seri

|

views

ENAM lelaki termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini kerana disyaki bersubahat dan menculik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, 10 Jun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan lima tertuduh iaitu Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42, didakwa menculik ahli perniagaan yang juga pemaju hartanah, Datuk Seri R Arumugam, 55, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah S$50 juta (RM154 juta).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang juga seorang ahli politik Datuk K Ramachandran, 52, didakwa bersubahat bersama lima tertuduh itu dengan niat untuk menahan mangsa yang sama bagi mendapatkan wang tebusan dengan nilai serupa, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 3 Akta Colek yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan hukuman sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid yang mewakili pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh.

Dalam prosiding itu hanya seorang tertuduh iaitu Ramachandran diwakili peguam, R Sivaraj.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa yang sudah reput ditemui dalam kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang Bestari, Rawang pada 27 Jun lalu selepas 18 hari diculik.

Mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun, diculik tiga lelaki ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi pada 10 Jun 2020.

Keluarga mangsa kemudian dihubungi suspek yang meminta wang tebusan berjumlah S$50 juta.

Polis mengesahkan motif penculikan berkenaan bermotifkan wang dan dipercayai ada kaitan dengan hutang perniagaan.

Berkaitan ⇢