Covid-19: Kuarantin rumah rintis PKP musim kedua kata Najib

|

views

Datuk Seri Najib Razak kecewa warga Malaysia yang pulang ke tanah air dibenar menjalani kuarantin di rumah.

Bekas perdana menteri berkata langkah berkenaan jauh berbeza dengan pendekatan yang diambil beberapa negara asing.

“Saya amat tidak senang dengan langkah kerajaan terus membenarkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di rumah serta mengenakan denda cuma RM1,000 kepada mereka yang ingkar kuarantin.

“Kita maklum bahawa kuarantin di rumah bersama keluarga ada banyak kelemahan manakala kit ujian pantas Covid-19 di lapangan terbang bukan 100 peratus tepat,” katanya.

Kebimbangan wakil rakyat Pekan susulan 706 warga Malaysia yang pulang ke tanah air kelmarin diminta menjalani kuarantin di rumah.

Najib berkata negara seperti Singapura, Thailand dan Australia sudah mengetatkan undang-undang dalam pelaksanaan kuarantin.

“Singapura tidak lagi membenarkan mereka yang tiba dari Hong Kong dan Australia untuk kuarantin di rumah. Perlu dikuarantin di pusat kuarantin rasmi kerajaan.

“Thailand mengumumkan bahawa semua pelawat termasuk staf diplomatik tidak lagi dibenarkan untuk kuarantin di rumah.

“Australia umum mereka yang ingkar kuarantin akan dipenjarakan enam bulan dan tidak lagi akan didenda,” katanya.

Bekas presiden Umno berkata rakyat Malaysia sudah berkorban untuk menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua bulan yang amat susah.

Katanya, pengorbanan barisan hadapan cukup besar semasa mereka mengambil risiko berdepan dan melawan Covid-19.

“Jangan biarkan usaha kita semua menjadi sia-sia jika gelombang kedua melanda akibat kes import tidak dikawal betul dan kita perlu mengulang semula tempoh PKP sekali lagi.

“Kerajaan perlu ambil tindakan serta-merta untuk memperketatkan proses kuarantin kita bagi mereka yang tiba atau pulang dari luar negara.

“Jangan kita menyesal di kemudian hari,” katanya lagi.

Berkaitan ⇢