Kluster Bukit Tiram: KKM kesan kes positif pertama di luar Johor

|

views

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes positif COVID-19 yang pertama di luar Johor bagi Kluster Bukit Tiram membabitkan bukan warganegara di Selangor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 135 orang telah disaring berhubung kluster itu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 10 kes dikesan positif, manakala 124 lagi negatif dan satu masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Daripada 10 kes positif itu, empat adalah bukan warganegara Malaysia. Kes positif dilaporkan (kes ke-8977), hari ini, adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8893 dari Johor.

“Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), kes positif ke-8893 didapati menginap di rumah kes ke-8977 pada 16 hingga 19 Julai lalu di Selangor.

“Justeru, beliau telah dikenal pasti dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

“Ujian saringan COVID-19 kali kedua dijalankan apabila kes ke-8977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak. Beliau dikesan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, sembilan kes positif bagi kluster itu dikesan di Johor, manakala satu lagi di Selangor.

“Kontak rapat bagi Kluster Bukit Tiram membabitkan 125 orang, iaitu 69 di Johor, Melaka (11), Selangor (18), Kuala Lumpur dan Putrajaya (21), Terengganu (enam),” katanya.

Lagi berita COVID-19
https://tvrakyat.asia/tag/covid-19

Berkaitan ⇢