Pelanggan kedai mamak tular pakai gelang pink bagi memasuki Lost World of Tambun: Polis

|

views

Seorang wanita yang gambarnya tular di laman sosial kerana memakai gelang berwarna merah jambu di sebuah kedai mamak, di sini, bukan individu di bawah pengawasan (PUS) COVID-19.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan polis mendapati gelang yang dipakai wanita itu adalah gelang untuk memasuki taman tema Lost World Of Tambun, di sini.

“Ia adalah salah faham sahaja. Itu gelang untuk memasuki Lost World of Tambun,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada peniaga kedai makan yang terletak di Jalan Kamaruddin Isa, Taman Fairpark di sini, kira-kira jam 12.22 tengah hari tadi, bagi menafikan dakwaan berhubung gambar tular berkenaan.

Katanya, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungai Senam oleh pengadu berusia 46 tahun itu supaya pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang penularan gambar berkenaan akan menjejaskan perniagaan dan imej kedai makan terbabit.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa wanita berkenaan disyaki melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Dr Ding berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan mengenai wanita itu yang dilihat mengenakan gelang berwarna merah jambu.

“Laporan polis telah dibuat dan pihak JKN Perak menjalankan siasatan lanjut termasuk berusaha mengenal pasti individu terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak semalam, tular di laman Facebook gambar seorang wanita berada di kedai mamak dengan memakai gelang berwarna merah jambu dipercayai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah. -Bernama

Berkaitan ⇢