Skandal Terowong: 2 Exco Pulau Pinang Akan Ditahan SPRM

|

views

Dua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari Parti DAP Pulau Pinang dilaporkan akan turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut akhbar Nanyang Siang Pau penahanan dua Exco terbabit adalah berkaitan dengan skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kedua-dua Exco terbabit dikatakan memainkan peranan yang besar di dalam projek tersebut.

Manakala semua ahli keluarga Guan Eng dilihat memuatnaik gambar profile berwarna hitam sebagai tanda bersolidariti.

SuaraTV masih menunggu pengesahan SPRM berhubung laporan tersebut.

Terdahulu bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh. – SuaraTV

Berkaitan ⇢