[Video] 17 Ogos untuk putuskan sama ada pembubaran DUN Sabah boleh diadili

|

views

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 17 Ogos depan untuk menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim, menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Perkara terbabit dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad Ahmad, iaitu peguam bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan 32 lagi ahli DUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Fuad berkata, mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, dan 12 Ogos bagi pihak beliau (Tengku Fuad) memfailkan hujahan balas.

Beliau berkata, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang ketika membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga responden kedua.

“Kita akan bersidang semula di sini pada 17 Ogos depan untuk hujahan tambahan atau keputusan,” katanya.

Permohonan itu juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Kerajaan Sabah masing-masing sebagai responden ketiga dan keempat.

Tengku Fuad menjelaskan, hujahan dikemukakan di hadapan Shim ialah Juhar tidak dinasihati secara betul oleh Mohd Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN bawah Perlembagaan negeri.

Pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie mengumumkan, beliau telah menerima kebenaran Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie mendapatkan kebenaran membubarkan DUN selepas Musa pada sidang media sebelum itu, mengumumkan bahawa beliau memperoleh sokongan 33 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

DUN yang dibubarkan itu mempunyai 65 ADUN. – BERNAMA

Berkaitan ⇢