Kluster Sivagangga: JAIS arah Surau Al Jannah Seksyen 23 Shah Alam ditutup sementara

|

views

SHAH ALAM — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai langkah pencegahan telah mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini, ditutup serta merta susulan ada dalam kalangan jemaahnya mempunyai kontak rapat, dengan individu positif COVID-19 berkaitan Kluster Sivagangga.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut diarahkan tutup serta merta adalah Sekolah KAFA Al-Jannah, berdekatan surau berkenaan.

Beliau berkata buat masa ini, surau tersebut tidak dibenarkan menganjurkan solat Jumaat, solat fardhu dan aktiviti keagamaan lain sebagai langkah pencegahan, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 kepada penduduk setempat.

“Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardhu di surau berkenaan. Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu terlibat menjalani ujian saringan COVID-19 dan melaporkan keputusannya kepada JAIS.

“Proses sanitasi juga hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Mohd Shahzihan, jawatankuasa surau diarah memantau rapat isu berkenaan, serta mengingatkan jemaah supaya meningkatkan langkah pencegahan wabak COVID-19, seperti disarankan JAIS.

Katanya, Surau Al-Jannah hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh pihaknya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak panik, kerana penutupan surau tersebut adalah langkah biasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan menyarankan orang ramai sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard ditetapkan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai notis penutupan surau berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk setempat.

Berkaitan ⇢