[Video] Undi Saya, Urusan Armada Akan ‘Dipermudahkan’ Kata Timb Menteri

|

views

Calon ketua Pemuda Bersatu (Armada) Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sebagai timbalan menteri, dia akan “permudahkan” urusan untuk membantu ahli Armada melalui exco-exco yang dilantik kelak.

Timbalan menteri belia dan sukan itu berkata demikian dalam klip video yang dikatakan dirakam ketika berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan calon Ketua Armada yang dijadual berlangsung pada 27 September ini.

“(Contohnya) ada (ahli) Armada di Pahang yang terlibat dengan pertanian, kita fikir jalan macam mana nak tubuhkan konsortium Armada Pahang yang terlibat dengan pertanian.

“Jadi kita jumpa Datuk Ronald (Kiandee) (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan beritahu ini hajat Armada Pahang. Tolong datuk. Bantu kami.

“Dan saya sebagai timbalan menteri, dan Insya-Allah, ketua Armada Nasional, akan permudahkan.

“Bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada dan saya akan buat salinan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk perkukuhkan.

“Itu guna jawatan! Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga.
“Pertama, undilah saya,” katanya menerusi video terbabit.

Untuk rekod, pemilihan ketua Armada yang bakal berlangsung pada 27 September akan berjalan serentak dengan perhimpunan agung Bersatu.

Jawatan itu kosong selepas Syed Saddiq digugurkan dari parti kerana menyokong Dr mahathir Mohamad.
Wan Ahmad Fayhsal akan berentap dengan Exco Pemuda Bersatu (Armada) Muzzammil Ismail bagi merebut jawatan Ketua Pemuda.

Berkaitan ⇢