Lagi Tangkapan Terhadap Penguatkuasa MBSA

|

views

SEORANG Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Tahanan reman itu bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Perintah tahanan reman sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, jam 9.30 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Semalam, media melaporkan lima individu termasuk empat penguat kuasa direman selama tujuh hari bagi membantu kes yang sama.

Menurut laporan berkenaan, pegawai terbabit disyaki menerima rasuah antara RM300 dan RM3,500 secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar daerah itu.

Kes membabitkan peniaga di Sungai Buloh itu menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi di Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahan berkenaan dibuat menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia dan dikongsi oleh akaun Mohd Asri Hamid, 42, yang turut dikenali sebagai Asri Janggut.

Susulan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu. – HMetro

Berkaitan ⇢