Guru didakwa rogol, liwat anak murid

|

views

PASIR MAS: Seorang guru Sekolah Menengah Agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap lima pertuduhan merogol dan meliwat anak muridnya berusia 14 tahun, pada Julai dan Ogos lalu.

Pengakuan tertuduh, Muhammad Nursalam Hazeman, 30, direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman. Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga empat, tertuduh didakwa merogol remaja berusia 14 tahun pada 3, 10, 17 dan 24 Julai, di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat, jam 2.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii jam 3 petang di lokasi sama pada 1 Ogos.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Mahkamah menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berkaitan ⇢