Maut selepas kereta terbabas masuk sungai

|

views

IPOH: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dinaiki terbabas lalu terjatuh ke dalam Sungai Pari di Jalan Silibin, di sini pagi tadi.

Mangsa, M M Vijaya Latchemy, 60, yang berada di tempat penumpang disahkan maut di tempat kejadian, manakala anak perempuannya berusia 30 tahun yang memandu kenderaan itu tidak cedera.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Khairuddin Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berhubung kejadian pada jam 6.26 pagi tadi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas sebelum jatuh dan terbalik ke dalam sungai mengakibatkan seorang mangsa wanita warga emas terperangkap di dalam kenderaan itu.

“Anak mangsa berjaya keluar dengan sendirinya dan cuba meminta pertolongan orang ramai di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairuddin berkata, anggota bertindak membawa naik mangsa ke tebing dan membuat rawatan awal bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan lemas kerana ruang kereta yang dinaiki mangsa dipenuhi air sungai,” katanya.

Berkaitan ⇢