Azizulhasni kenang empat tahun menang Olimpik, ‘pengorbanan berbaloi’

|

views

Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang menyifatkan gangsa yang diraih dalam sukan Olimpik merupakan pingat paling berat yang pernah dimiliki dalam koleksinya.

Mengenang kejayaannya empat tahun lalu, Azizulhasni, 32, terkenal gelaran “Pocket Rocketman”, mengimbas kembali perit jerih pengorbanannya daripada menjadi anak kampung hingga dikenali dunia.

“Empat tahun lalu, pada hari ini (16 Ogos) saya menjadi pelumba basikal pertama Malaysia memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio.

“Ia merupakan pingat terberat yang pernah saya miliki yang beranggaran 500 gram,” catatnya di Twitter semalam.

Melalui untaian itu, jejaka asal Terengganu berkata seawal umur 19 tahun beliau nekad meninggalkan kampung halaman di Dungun dan merantau ke Melbourne di Australia untuk mengejar cita-citanya.

Pertama kali pengalaman beraksi di Olimpik Beijing pada 2008 dan Olimpik di London pada 2012, beliau gagal meraih sebarang pingat namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlatih.

Tidak berputus asa, katanya usaha itu berbaloi apabila 2016 beliau berjaya mengharumkan nama negara di Brazil.

“Perjalanan ini mengajar saya satu perkara.

“Hidup tidak memberi apa yang kita mahu tetapi memberi apa yang kita usahakan,” catatnya.

Berkaitan ⇢