Kedah pantau rumah ibadat bukan Islam elak risiko jangkitan Covid-19

|

views

RUMAH ibadat bukan Islam yang berdaftar di negeri Kedah akan terus dipantau bagi membendung penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, pemantauan di 65 rumah ibadat bukan Islam itu dilakukan pegawai daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap operasi rumah ibadat bukan Islam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bagaimanapun, kewujudan kluster baharu di negeri sejak kebelakangan ini membuatkan kita lebih berhati-hati bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau meminta rumah ibadat bukan Islam yang mengadakan upacara keagamaan sama ada di kuil, tokong dan sebagainya hendaklah akur dan patuh sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, pihak berkuasa akan bertindak tegas tanpa berkompromi dengan mana-mana individu atau rumah ibadat bukan Islam yang didapati ingkar kepada arahan yang diberikan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan Kedah mencatatkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 membabitkan tiga kluster baharu iaitu Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala.

Berkaitan ⇢