[Video] Tular anggota MBJB naik angin, peniaga tanya ‘mask mana’

|

views

Insiden pertikaman lidah antara penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) dengan peniaga tular di media sosial sejak semalam, dipercayai akibat masalah tempat letak kereta.

Melalui rakaman yang dimuat naik Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), kejadian didakwa berlaku di Jalan Kebun Teh di Johor, selepas orang awam mengadu peniaga kereta terpakai meletakkan kereta atas bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

“Berlaku sedikit pertengkaran apabila penguat kuasa di provok tidak pakai mask,” catat badan bukan kerajaan (NGO) itu di Twitter.

Rakaman berdurasi 25 saat itu menunjukkan kira-kira enam anggota MBJB bermotosikal dan membawa trak penunda berdepan dengan beberapa individu, meminta pemilik premis mengalihkan kereta.

Beberapa kakitangan kedai kemudian mempertikaikan anggota MBJB bertopi keledar terbabit yang tidak memakai pelitup muka ketika berdepan dengan mereka.

Keadaan itu menyebabkan seorang anggota menjadi berang dan menengking salah seorang peniaga yang cuba mahu berjabat tangan, namun sempat dileraikan salah seorang rakannya yang membawanya ke tepi.

“Sekarang ni tak payah nak salam, alih kereta saja sudah,” kata seorang lagi anggota MBJB kepada peniaga terbabit.

Hantaran sejak semalam kini dikongsi lebih 3,400 kali dan mendapat lebih 2,000 tanda ‘suka’.

Berkaitan ⇢