Md Rayhan diusir pulang tanpa didakwa

|

views

Lelaki Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang mencetuskan kontroversi mendakwa pihak berkuasa Malaysia bertindak tidak adil kepada warga asing dalam dokumentari terbitan Al Jazeera akan dihantar pulang tanpa sebarang pendakwaan.

Peguam Md Rayhan, K Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja dalam kenyataan berkata lelaki itu akan dihantar pulang sebaik keputusan saringan COVID-19 selesai.

Mereka juga sudah menulis surat kepada imigresen melalui e-mel untuk bertemu dengan anak guam mereka pada jam 2 petang.

Sumitha berkata, proses penghantaran balik itu juga perlu menunggu tiket penerbangan ke Bangladesh tersedia.

“Pihak imigresen memutuskan untuk menghantar pulang Rayhan Kabir. Tidak akan pendakwaan dikenakan terhadap anak guam kami.

“Dia akan dihantar pulang sebaik keputusan saringan COVID-19 dilakukannya selesai dan tiket penerbangan tersedia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Md Rayhan ditahan Jabatan Imigresen ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, di sini, 24 Julai lalu.

BACA SINI: Lelaki Bangladesh dalam video Al Jazeera mohon maaf kepada kerajaan

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang memaparkan Md Rayhan mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes COVID-19 membabitkan warga asing.

Berkaitan ⇢