[Video] Usain Bolt positif Covid-19 selepas berparti hari lahir ke-34

|

views

Manusia terpantas dunia Usain Bolt disahkan positif Covid-19 selepas mengadakan sambutan hari lahir ke-34 yang turut dihadiri pemain bola sepak England Raheem Sterling dan beberapa bintang sukan.

Kementerian Kesihatan Jamaica semalam berkata, pemegang rekod dunia lari pecut 100 meter dan 200 meter itu disahkan positif wabak dan sedang mengesan kontak rapat, lapor The Guardian.

Usain sebelum itu memuat naik video di media sosial, mengatakan sedang menunggu keputusan dan menggesa individu yang berhubung rapat dengannya baru-baru ini agar menjalani kuarantin.

“Saya bangun tidur, dan seperti orang lain saya melayari media sosial yang mengatakan saya disahkan Covid-19.

“Saya menjalani saringan pada Sabtu. Saya cuba bertanggungjawab jadi saya akan duduk di sini demi kawan-kawan,” katanya yang menyambut hari jadi Jumaat lalu.

“Saya tidak ada simptom jadi saya akan menjalani kuarantin sendiri dan menunggu pengesahan, melihat protokol dan proses kuarantin.

“Sehingga itu sesiapa yang pernah bertemu dengan saya, anda juga perlu menjalani kuarantin bagi memastikan keadaan selamat.”

Bolt, juara lapan kali Olimpik sebelum bersara pada 2017, memegang rekod dengan catatan masa 9.58 saat pada jarak 100 meter dan 200 meter dalam masa 19.19 saat.

Video dari media sosial menunjukkan Usain berparti dan menari dengan orang ramai, kebanyakan mereka tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

Jamaica, berpenduduk sekitar tiga juta, setakat ini mempunyai jumlah 1,413 kes Covid-19 dengan 16 kematian.

Sementara itu, jurucakap Manchester City turut mengesahkan pemainnya Sterling berada di parti Usain, selain pemain sayap Bayer Leverkusen Leon Bailey dan pemain kriket Chris Gayle, dan kini masih berada di Jamaica.

Berkaitan ⇢