Pemandu lori rentung

|

views

PEMANDU lori ditemui rentung di dalam kenderaan dipandunya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, bomba tiba di lokasi pada 6.32 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah lori sedang terbakar dan bomba segera menjalankan operasi pemadaman.

“Lori yang membawa muatan sekerap logam (metal scrap) itu terbakar sebanyak 95 peratus selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pasir.

“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa iaitu pemandu rentung di tempat duduk pemandu. Bagaimanapun lori pasir terbabit tidak terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hafisham berkata, bomba mengambil masa 20 minit mengeluarkan mayat sebelum diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, operasi itu membabitkan 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.

 

Berkaitan ⇢