Sumber air mentah tercemar, 4 LRA henti tugas

|

views

SHAH ALAM: Empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas pagi ini susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata LRA Sungai Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi tadi.

“Sementara itu, jam 9 pagi pula, tiga lagi LRA yang dihenti tugas pagi ini adalah LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3).

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bermula jam 10 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, senarai penuh kawasan yang terjejas akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil tindakan pantas bagi mengatasi insiden pencemaran ini dengan kadar segera.

“Semua pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat,” katanya.

Berkaitan ⇢