Kereta curi, bukan kereta klon: Polis

|

views

KAJANG: Kereta Mazda 6 merah dengan nombor pendaftaran sama yang ditemui di tempat letak kenderaan di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, 13 September lalu, disahkan sebagai kenderaan curi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai sebuah kereta klon di lokasi terbabit pada 6.30 petang.

“Pemeriksaan sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi di lokasi menemui kereta model Mazda 6 berwarna merah dalam keadaan berkunci di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan berkenaan dilaporkan hilang di Beserah, Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kereta itu kemudian dibawa balik oleh anggota Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan sekiranya terdapat sebarang kejadian jenayah atau kemalangan di daerah ini serta memberikan kerjasama semasa pihak polis menjalankan tugas,” katanya.

Terdahulu, penemuan kereta klon model Mazda 6 oleh pemilik kenderaan terbabit tular di media sosial sejak semalam.

Berkaitan ⇢