Dikejar polis sejauh tujuh kilometer

|

views

Tanah Merah: Tindakan pemandu sebuah kereta melanggar lampu isyarat merah mengundang padah apabila dia bersama tiga rakannya ditahan polis.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, Proton Saga BLM itu memecut selepas melanggar lampu isyarat merah di bandar Tanah Merah walaupun anggota dari unit Kereta Peronda (MPV) mengarahkan pemandunya agar berhenti.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, anggotanya segera mengejar kenderaan suspek sejauh tujuh kilometer sehingga ke Kampung Chawas.

“Dengan bantuan dua lagi kereta peronda MPV, kenderaan itu berjaya ditahan dan pemeriksaan menjumpai senjata berbahaya iaitu parang dan kerambit bersama beberapa alat yang digunakan untuk menagih dadah.

“Keempat-empat suspek berumur antara 19 hingga 36 tahun dengan tiga memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Dua daripada mereka yang berusia 29 dan 36 tahun berada dalam senarai orang dikehendaki berhubung kes dadah,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Setakat ini tiada kejadian samun dikaitkan dengan kumpulan itu seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya.

Berkaitan ⇢