Banjir teruk landa beberapa negara Asia

|

views

HYDERABAD: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda selatan India.

Di Hyderabad, sembilan orang terbunuh selepas dinding sebuah syarikat IT terkemuka runtuh, manakala 10 yang lain mati akibat terkena renjatan elektrik atau lemas.

Times of India pula melaporkan kisah lapan sekeluarga yang berada di balkoni menyaksikan hujan, dihanyutkan arus deras apabila air naik secara tiba-tiba, mengakibatkan dua maut, manakala bakinya masih hilang.

Daerah Telangana paling teruk dilanda banjir dan turut memberi kesan kepada daerah bersebelahan di Andhra Pradesh dan Karnataka.

Sementara itu di Vietnam, banjir dan bencana alam akibat hujan lebat meragut 49 nyawa, manakala 25 lagi masih hilang, menurut Jawatankuasa Pemandu Pusat Pencegahan dan Pengawalan Bencana Alam.

Antara yang terbunuh ialah sembilan anggota penyelamat yang dihantar bagi operasi mencari dan menyelamat 17 pekerja stesen hidro elektrik yang hilang selepas tanah runtuh.

Kumpulan 13 anggota penyelamat itu berjaya menemui satu mayat, namun mereka sendiri terperangkap dengan sembilan terkorban dalam tragedi itu.

Selain itu, lebih 13,700 rumah ditenggelami air termasuk 585 runtuh atau rosak, 870 hektar sawah dan lebih 5,300 hektar tanaman lain ditenggelami air, manakala kira-kira 332,350 lembu serta ternakan lain terbunuh atau dihanyutkan banjir.

Kemboja juga terjejas teruk akibat banjir dengan sekurang-kurangnya 13 terbunuh termasuk lima kanak-kanak, menurut agensi bencana negara itu.

Kira-kira 190,000 penduduk tempatan terjejas manakala lebih 12,000 orang terpaksa dipindahkan.

Di Thailand pula, ribut monsun menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di 20 wilayah dengan anggaran 15,740 isi rumah terjejas dan seorang terbunuh, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana. – AGENSI

Berkaitan ⇢