Bersama tangani cabaran

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini menyeru ahli Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) untuk terus meningkatkan kerjasama pelbagai hala dan memperluaskan kerjasama dengan negara-negara pemerhati AIPA ke arah memastikan komuniti yang aman, harmoni dan sejahtera di rantau masing-masing.

AIPA dan ASEAN, dalam masa yang sukar ini, perlu terus menangani isu-isu kepentingan bersama serta cabaran-cabaran serantau dan global, tekan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan mengurniakan titah pada majlis perasmian AIPA ke-42 dihoskan oleh Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam secara persidangan maya, hari ini.

Semasa pembukaan rasmi tersebut, Baginda turut mengetengahkan kerjasama erat AIPA dan ASEAN ke arah membina komuniti serantau yang lebih bersepadu dan
berjaya.

Sesuai dengan tema pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 iaitu We Care, We Prepare, We Prosper, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa ASEAN telah terus memberikan tindak balas yang pantas dalam memeduli rakyatnya dan mempersiapkan masyarakatnya ke arah kemajuan.

Baginda seterusnya bertitah, tema Perhimpunan Agung AIPA ke-42 iaitu Forging Parliamentary Cooperation in Digital lnclusion towards ASEAN Community 2025 menekankan komitmen AIPA dalam membina ASEAN sebagai peneraju dalam komuniti digital dan blok
ekonomi.

Melalui AIPA juga, penyelarasan peraturan, pensejajaran dasar dan perundangan yang sesuai di seluruh ASEAN akan dapat dipromosikan.

Baginda juga bertitah supaya AIPA dan ASEAN, dalam masa yang sukar ini, untuk terus menangani isu-isu yang menjadi kepentingan bersama serta cabaran-cabaran serantau dan global.

Semasa perhimpunan tersebut, ASEAN dengan sebulat suara ingin melihat generasi masa kini dan akan datang untuk terus menikmati keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan, pertumbuhan ekonomi yang berkekalan.

Oleh itu, ia sangat penting bagi anggota parlimen untuk terus menjadikan AIPA sebagai organi-sasi dan platform utama dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala.

Ini sesuai dengan agenda perhimpunan tersebut untuk berterusan membincangkan isu-isu yang menjadi kebimbangan bersama dan yakin bahawa perbincangan pada perhimpunan itu akan menghasilkan kaedah baharu mengenai bagaimana AIPA dan ASEAN boleh bekerjasama dalam mengatur langkah dan bertindak balas dengan berkesan terhadap cabaran serantau dan global di dalam keadaan yang merumitkan ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh perwakilan-perwakilan parlimen negara-negara ASEAN serta negara-negara pemerhati dan jemputan-jemputan khas AIPA secara dalam talian.

Berkaitan ⇢