“Jangan sebar video budak lelaki diserang 2 remaja,” nasihat Dr Faishal agar mangsa tidak tertekan

|

views

SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menggesa masyarakat supaya jangan menyebarkan satu rakaman video yang menunjukkan insiden serangan membabitkan tiga orang budak lelaki.

Rakaman video itu dipercayai menunjukkan seorang budak lelaki diserang oleh dua remaja lelaki.

Menurut Dr Faishal dalam catatan Facebooknya pada Rabu (25 Ogos), beliau difahamkan oleh pihak polis bahawa kejadian berkenaan berlaku pada Januari 2021.

Ketiga-tiga budak lelaki itu juga saling mengenali satu sama lain.

Berhubung kejadian itu, dua remaja lelaki itu sudah didakwa dengan tuduhan yang berkaitan dengan samseng dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada mangsa (di bawah Kanun Jenayah), menurut Dr Faishal.

“Mangsa sudah mendapatkan rawatan perubatan menyusuli kejadian itu dan didiagnosis mengalami cedera ringan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan menyebarkan video itu kerana dengan berbuat demikian ia akan menambah tekanan terhadap mangsa,” nasihat Dr Faishal sebelum mengakhiri catatannya.

– BERITAmediacorp/ha

Berkaitan ⇢