Arab Saudi luluskan penggunaan Sinovac, Sinopharm

|

views

JEDDAH: Arab Saudi pada Selasa meluluskan penggunaan dua lagi vaksin Covid-19 iaitu Sinovac dan Sinopharm.

Ketika ini, empat vaksin diluluskan untuk digunakan di negara itu iaitu Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson, dan Moderna.

Kementerian Kesihatan berkata, individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm, diterima masuk untuk ke negara itu, dengan syarat ia menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

Ia sebelum ini menyatakan bahawa individu juga boleh menerima dua dos vaksin berlainan, berdasarkan kajian saintifik yang menunjukkan kaedah itu berkesan untuk mengekang Covid-19.

Menurutnya, berdasarkan syor semasa, dos kedua perlu diambil sekurang-kurangnya selepas tiga minggu dari tarikh dos pertama.

Bagi individu yang pulih daripada jangkitan Covid-19, mereka perlu menerima dua dos vaksin, dengan yang pertama sekurang-kurangnya selepas 10 hari dijangkiti dan dos kedua tiga minggu kemudian.

Jika jangkitan berlaku selepas dos pertama, dos kedua perlu diberikan sekurang-kurangnya 10 hari selepas jangkitan.

Kementerian itu melaporkan 353 kes baharu pada Selasa, menjadikan kes keseluruhan kepada 542,707.

Terdapat 4,377 kes aktif, dengan 1,108 daripadanya adalah kritikal.

Daripada kes baharu berkenaan, 71 direkodkan di Riyadh, Makkah (66), Wilayah Timur (41) dan Madinah (26).

Terdapat tujuh kematian berkait dengan Covid-19, menjadikan jumlah kematian kepada 8,497.

Kementerian itu turut melaporkan kira-kira 62.05 peratus populasi negara itu sudah menerima dos pertama, manakala 37.7 sudah menerima dos kedua.

Berdasarkan perkembangan itu, Ia menjangkakan 70 peratus penduduknya sudah menerima dua dos menjelang 9 Oktober.

Berkaitan ⇢