BANDAR SERI BEGAWAN  – Satu lagi kes yang disahkan positif COVID-19 telah meninggal dunia hari ini.Berita duka itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Mendiang ialah seorang lelaki berumur 55 tahun yang merupakan Kes 656 yang telah dilaporkan pada 15 Ogos 2021. Kes ini telah mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes berkenaan, Yang Berhormat Dato tidak mengongsikan butiran peribadi mendiang.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes tersebut,” seru Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” tambahnya.