Lans Koperal Balai Polis Kerling didenda RM1,800

|

views

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah cuba mendapat wang tunai RM5,000 bagi melepaskan empat lelaki yang dikatakan memiliki air ketum, dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh mengarahkan tertuduh, Mohamad Fisha Ani, 32, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mohamad Fisha mula dituduh di mahkamah pada 24 November 2020 namun dia mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Fisha didakwa cuba untuk mendapat wang tunai sebanyak RM5,000 daripada seorang individu dengan balasan bagi melepaskan empat lelaki yang dikatakan memiliki air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 yang kamu ketahui mempunyai perhubungan dengan tugas rasmi kamu sebagai penjawat awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 16 September 2019 di hadapan Tabika Kemas, Kampung Pasir, Pekan Kerling, Hulu Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Fisha bersama seorang koperal berhenti di sebelah sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki empat lelaki di bahu jalan berhampiran Tol Bukit Tagar pada pukul 8 malam, 15 September 2019.

Tertuduh mengarahkan kesemua lelaki itu keluar daripada kenderaan bagi membuat pemeriksaan manakala koperal telah menemukan satu botol air yang mencurigakan di tempat letak kaki di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

Empat lelaki itu memaklumkan bahawa air tersebut adalah air ketum yang dibawa oleh mereka dan tertuduh memaklumkan bahawa perbuatan membawa air ketum ini adalah satu kesalahan dan mahu membawa mereka ke balai.

Salah seorang lelaki terbabit dilepaskan kerana mengaku tidak minum air ketum namun kad pengenalannya disimpan oléh tertuduh.

Pada pukul 9 malam, tertuduh telah memanggil salah seorang lelaki untuk keluar daripada kereta peronda dan membawanya ke belakang kereta untuk berunding. Lelaki terbabit menawarkan RM500 namun tertuduh mengatakan tidak berbaloi sehinggalah dia ditawarkan RM3,000.

Setelah berbincang, tertuduh meminta sebanyak RM5,000 untuk satu kepala yang bermaksud keseluruhan dalam RM20,000 bagi tidak mengambil tindakan terhadap mereka berempat. Bagaimanapun lelaki terbabit meminta kepada tertuduh untuk membuat panggilan telefon kepada rakannya untuk membantu kerana jumlah yang diminta terlalu tinggi.

Lelaki itu kemudian meminta untuk bercakap dengan abang rakannya yang bekerja di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanyakan pendapat.

Tertuduh mahu penyerahan wang tersebut pada malam itu juga dan memaklumkan lokasi perjumpaan iaitu di satu kedai makan berdekatan dengan Balai Polis Kerling.

Pada pukul 12.05 tengah malam, 16 September 2019, aduan dibuka dan perbualan telefon di antara mereka telah dirakam.

Pada pukul 12.45 pagi, pegawai SPRM menerima wang sebanyak RM5,000 yang bertanda dan pukul 1.10 pagi, mereka bertemu di lokasi perjumpaan iaitu sebuah kedai makan di dalam kawasan kampung, terletak hadapan Tabika Kemas, Kampung Pasir, Pekan Kerling.

Pada pukul 1.20 pagi, tertuduh tiba bersama salah seorang lelaki yang ditahan sebelum turun daripada kenderaan. Pegawai SPRM tersebut mengaku dia adalah adiknya dan berbincang seketika dengan tertuduh.

Apabila pegawai SPRM hendak menyerahkan wang bertanda, secara tiba-tiba sebuah kenderaan Proton Preve berhenti tidak jauh daripada kawasan perjumpaan dan ia disedari dan dapat dilihat tertuduh.

Tertuduh terus memberi amaran kepada pegawai SPRM untuk tidak menyerahkan wang dan dia berasa curiga dan seperti marah sebelum mengarahkan supaya semua pihak ke Balai Polis Kerling.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM mendapati tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana sebagai Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Kerling, Hulu Selangor, telah cuba untuk mendapat wang tunai sebanyak RM5,000 dengan balasan bagi melepaskan empat lelaki yang dikatakan memiliki air ketum.

Peguam bela, V. Thavanniswaran dalam mitigasinya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman memohon hukuman yang setimpal memandangkan anak guamnya telah digantung tugas pada Januari lalu sehingga hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Noryusriza Zulkifli memohon hukuman yang setimpal dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira fakta dia merupakan seorang penjawat awam dan seorang anggota polis yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan anggota di bawahnya.

Rozilah sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan tertuduh agar muhasabah diri dengan apa yang telah dia lakukan dan memohon keampunan daripada Allah.

“Sebagai polis, kamu kena berurusan dengan orang ramai dan penjenayah. Bila kamu disua walaupun dengan RM1, kamu sepatutnya memberi amaran kerana kesalahan rasuah ini sangat serius.

“Kamu diberi peluang untuk menjadi penjawat awam, seorang polis yang sepatutnya menjaga keselamatan, itu amanah. Kamu ambil kesempatan. Ini jawatan yang mulia. Kamu kena insaflah, mulakan penghidupan yang baru. Biar dapat sikit tapi berkat,” jelasnya.

Berkaitan ⇢