Waspada terhadap naratif galak agenda ganas dan pelampau: Dr Faishal

|

views

SINGAPURA: Rakyat Singapura perlu berjaga-jaga terhadap naratif yang diputar belitkan, terutamanya yang mempergunakan peristiwa-peristiwa dunia untuk menggalakkan agenda ganas atau pelampau.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam acara mendampingi belia anjuran Taman Bacaan pada Jumaat malam (27 Ogos).

Acara berjudul “Memperkukuhkan Perpaduan Sosial Pasca Pandemik” itu dihadiri oleh pelajar dari Insitut Pengajian Nasional (NIE) dan kumpulan belia, bersama-sama anggota Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Antara Agensi (ACG) dan beberapa pemimpin masyarakat.

Menurut Dr Faishal, krisis kemanusiaan di Afghanistan, semakin menimbulkan keprihatinan keselamatan kepada Singapura dan rantau ini.

“Saya telah menerima maklum balas daripada rakyat Singapura. Mereka bimbang tentang apa yang berlaku. Keadaan di Afghanistan boleh memberikan peluang kepada kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan “Islamic State” di Iraq dan Syria untuk bersatu semula,” kata beliau.

Tambahnya, golongan radikal dari Asia Tenggara pula mungkin tertarik untuk angkat senjata dan menyertai kumpulan-kumpulan itu.

“Perkembangan di Afghanistan telah mendorong beberapa kumpulan pelampau ganas di rantau ini, yang melihat pengambilalihan Taliban sebagai kemenangan propaganda yang jelas yang boleh digunakan untuk menarik rekrut untuk memenuhi tujuan mereka,” kata beliau.

Dan ada yang mula menyebarkan naratif ideologi di media sosial yang menganggap kembalinya kuasa Taliban itu untuk sebagai kemenangan bagi penubuhan sebuah negara Islam.

Ini adalah sesuatu yang harus direnungkan dan kita perlu sedar ada kemungkinan seperti itu.

Dr Faishal berkata hasil maklum balas yang diterima, ramai anggota masyarakat Singapura yang semakin peka dengan perkembangan sedemikian dan kesannya terhadap negara ini.

“Rakyat Singapura mesti berjaga-jaga untuk tidak menjadi mangsa kepada naratif yang menyimpang, terutamanya yang mengambil kesempatan daripada perkembangan di dunia untuk mempromosikan agenda ganas atau ekstremis. tegas Dr Faishal.

“Kita mesti menolak sebarang tindakan sedemikian, termasuk membuat catatan dalam talian yang menyokong atau menggalak tindakan ganas atau yang mengancam keharmonian masyarakat dan fabrik sosial kita.”

“Ini yang saya harapkan, supaya sebagai bakal pendidik, kita memupuk keharmonian, menggalak rasa ihsan antara satu sama lain, menjaga satu sama lain, dan memastikan kita terus memberi tumpuan kepada pembangunan tanah air kita” katanya lagi.

Dr Faishal turut menyeru golongan belia untuk memainkan peranan dan “menyumbang dengan cara sendiri, sama ada besar atau kecil” untuk menjaga keharmonian dan perpaduan sosial di negara ini.

– BERITAmediacorp/TQ/tq

Berkaitan ⇢