4 kit antigen rapid test diluluskan

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kementerian Kesihatan setakat ini hanya meluluskan empat kit ujian COVID-19 Antigen Rapid Test (ART) yang efektif dan terbaik bagi pemeriksaan koronavirus untuk digunakan oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab persoalan mengenai terdapat beberapa penjual yang menjual kit-kit ujian pelbagai jenis yang belum dipastikan kualiti dan keberkesanannya pada sidang media hari ini.

Menurutnya lagi, keempat-empat kit yang bagus dan berkesan itu ialah Panbio Covid-19 Rapid Test Device (Nasopharyngeal) dan (Nasal) yang masing-masing dari Abbott Rapid Diagnostic Jena GmBH, Jena, Jerman; Biocan Tellmefast Covid-19 Antigen Test dari Biocan Diagnostics Inc, Kanada; dan Innovita One Step Rapid Test (2019-nCoV Ag Test (Latex Chromatography Assay) dari Innovita (Tangshan) Biological Technolog Co LTD.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kit ujian tetapi hanya empat jenis kit antigen ini saja setakat ini yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan di negara ini, ujarnya.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyarankan orang ramai untuk hanya mengambil kit ujian yang diluluskan sahaja kerana dikhuatiri jika individu menggunakan antigen yang tidak disenaraikan oleh kementerian dan mendapat keputusan negatif tetapi sebaliknya positif, ia boleh mendatangkan bahaya dan menjangkiti orang awam sekiranya individu terbabit demam dan malah keluar berjalan-jalan dengan tidak pergi ke hospital.

 

“Ia sekali gus akan menyebabkan penularan dan sebab itu Kementerian Kesihatan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kit ujian antigen ini,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengingatkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di luar sama ada ianya pelitup muka perubatan atau bukan untuk perubatan.

Beliau seterusnya menjelaskan perbezaan mengenai pelitup muka yang mana pada amnya yang jenis medical itu digunakan untuk kegunaan perubatan dan sebagainya dan ketika ini pelitup muka non medical banyak dijual di luar dan ianya masih boleh digunakan.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan untuk penggunaan pelitup muka sekurang-kurangnya yang mempunyai tiga lapis adalah digalakkan selain N95 non medical juga boleh digunakan untuk orang ramai.

Beliau seterusnya menambah, penggunaan pelitup muka yang diperbuat daripada kain juga boleh daripada tidak menggunakan pelitup muka langsung tapi jika kurang yakin semasa berjalan keluar, boleh juga menggunakan pelitup muka dengan menggunakan pelitup muka pembedahan dan kain.

Berkaitan ⇢