Inilah 4 makanan tempatan dicuba Naib Presiden AS Kamala Harris atas saranan rakyat S’pura

|

views

SINGAPURA: Pada pagi Ahad lalu (22 Ogos), Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris tiba di Singapura bagi memulakan lawatan rasminya yang pertama ke Asia Tenggara.

Di tengah-tengah jadualnya yang padat dipenuhi dengan rundingan rasmi sepanjang tempoh tiga hari berada di Singapura, naib presiden wanita Amerika Syarikat itu juga sempat menikmati beberapa hidangan kegemaran rakyat tempatan. Tentu sekali, kesemua hidangan itu dipilih berdasarkan saranan-saranana para pakar iaitu para penduduk Singapura sendiri.

Menjelang lawatannya ke Singapura, Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan menulis di laman Facebook, Instagram dan Twitternya pada 17 Ogos untuk bertanya para penduduk Singapura tentang hidangan tempatan yang mana satu yang harus dicuba oleh Cik Harris.

Berkat maklum balas orang ramai, pelbagai hidangan berbilang budaya yang terdiri daripada rojak, laksa, idli dengan sambar dan minuman teh tarik dihidangkan kepada Cik Harris sebagai jamuan tengah hari.

Selepas mencuba kesemua makanan tempatan itu, Cik Harris memberitahu Dr Balakrishnan bahawa beliau benar-benar sangat menikmati kesemua makanan yang disajikan itu termasuk hidangan kegemarannya dari selatan India iaitu idli dengan sambar.

Kesemua makanan itu dihidangkan dalam mangkuk tingkat dan disediakan oleh Hotel Shangri-La.

Dalam catatan di laman media sosialnya, Dr Balakrishnan berkata bahawa Naib Presiden Amerika Syarikat itu sangat “teruja” dengan kesemua hidangan yang disajikan itu.

“Terima kasih atas semua saranan anda. Anda pasti teruja mendapat tahu bahawa Naib Presiden Kamala Harris sangat-sangat teruja dengan saranan-saranan anda! #FoodDiplomacy”, tulis Dr Balakrishnan dalam catatan Instagram, Facebook dan Twitternya pada 25 Ogos.

– CNA/HA/ha

Berkaitan ⇢