KL City kejutkan TFC 1-0 di Cheras

|

views

Peluang Terengganu FC (TFC) untuk merebut slot ke Piala AFC 2022, nampaknya semakin sukar apabila dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC, malam ini.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Kumpur, Cheras itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan kapten skuad “The City Boys” Paulo Josue, yang meledak masuk bola hasil percubaan J Partiban, yang ditampan keluar oleh Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-29.

Penang FC pula berjaya mengatasi Petaling Jaya (PJ) City 2-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, untuk terus merapatkan kedudukan dengan TFC.

Penang bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan penyerang import dari Brazil Anselmo Arruda da Silva, yang lebih dikenali Casagrande, sebelum pemain kelahiran Tajikistan Sheriddin Boboev menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama.

Skuad “The Phoenix” berjaya mengurangkan defisit menerusi P Rajes, yang tenang menyudahkan hantaran tepat daripada K Gurusamy pada minit ke-64.

Keputusan perlawanan malam ini menyaksikan Kedah Darul Aman FC kekal di tangga kedua dengan 38 mata selepas 18 perlawanan, manakala Terengganu mengatasi Penang di kedudukan ketiga berdasarkan kelebihan jaringan walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 37 mata selepas 20 aksi.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menetapkan bahawa naib juara Liga Super, serta juara Piala Malaysia akan layak ke saingan Piala AFC 2022, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super sudahpun mengesahkan slot ke Liga Juara-juara AFC.

Sementara itu, saingan Liga Premier menyaksikan JDT II bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan TFC II 3-2 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Skuad tuan rumah dikejutkan dengan jaringan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-42, namun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman yang menyempurnakan hantaran Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-52.

Selang 10 minit kemudian, pasukan kendalian Rafael Francisco Gil Sanchez memperolehi gol kedua menerusi tendangan penalti Fernando Rodriguez Ortega, setelah Kei Hirose dijatuhkan di petak penalti akibat asakan kapten pasukan pelawat Argzim Redzovic dan pemain pertahanan Masaki Watanabe.

Gerakan solo Hirose yang mengelirukan penjaga gawang TFC II Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, menghasilkan gol ketiga buat JDT II pada minit ke-78, sebelum TFC II mengurangkan jurang menerusi Watanabe pada masa kecederaan.

Kemenangan itu membantu JDT II melonjak ke tangga ketiga carta dengan 30 mata selepas 18 perlawanan, manakala TFC ketinggalan satu mata di tempat keempat selepas 17 perlawanan.

Terdahulu, pasukan tercorot carta, Skuad Projek FAM-MSN berjaya mencatatkan kemenangan sulung  dalam 18 perlawanan, apabila berjaya mengejutkan Kelantan United 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Azhad Harraz Arman pada minit ke-77, yang menyaksikan pasukan pemain muda itu kekal di tempat ke-11 dengan enam mata, selepas satu kemenangan, tiga seri dan 14 kekalahan dalam 18 aksi setakat ini.

— BERNAMA

Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9). Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Berkaitan ⇢