Enam pelajar sekolah antara ditahan berparti dadah

|

views

ALOR SETAR: Lima belas individu termasuk remaja sanggup menyewa sebuah rumah inap desa di Jalan Suka Menanti di sini, bernilai RM200 semata-mata untuk berparti.

Namun, tindakan mereka yang memasang muzik kuat dan mengganggu ketenteraman penduduk sekitar hanya mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan pada 3.30 pagi, hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerusi Op Private Party.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menahan 11 lelaki dan empat perempuan yang berusia antara 15 hingga 22 tahun, dengan enam daripada mereka masih bersekolah.

“Anggota turut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi empat biji pil berwarna ungu yang disyaki pil ekstasi stacy yang disembunyikan di dapur rumah itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati lima individu berusia 15 hingga 19 tahun termasuk dua remaja perempuan positif dadah methamphetamine dan mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 12(2) akta sama,” katanya hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kesemua 15 suspek yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan juga dikompaun mengikut Peraturan 16 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988.

Beliau menasihati ibu bapa supaya mengawasi kegiatan anak masing-masing bagi mengelak mereka terjebak aktiviti tidak bermoral dan jenayah.

Berkaitan ⇢