Kadar jenayah S’pura naik lebih 11% pada separuh pertama 2021; kes penipuan meningkat

|

views

SINGAPURA: Kadar jenayah di Singapura pada separuh pertama tahun ini meningkat dengan 19,444 kes dilaporkan, naik 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh lonjakan dalam kes penipuan di tengah-tengah pandemik COVID-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dalam satu kenyataan media hari ini (30 Ogos), SPF mendedahkan bahawa kes-kes sedemikian bertambah 16 peratus kepada 8,403 antara Januari dengan Jun, berbanding 7,247 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Namun begitu, SPF menyatakan bahawa kenaikan itu “jelas” lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya, yang dalam lingkungan antara 19.5 peratus dengan 108.8 peratus dari 2018 hingga 2020.

Terdapat juga lebih banyak kes melibatkan perbuatan mencabul kehormatan dan mengintai, sebahagiannya disebabkan bilangan kes lebih rendah yang dicatat sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

“Jumlah kes (cabul kehormatan) yang berlaku dalam sistem pengangkutan awam termasuk di pusat-pusat pertukaran pengangkutan awam dan dalam pengangkutan awam, kekal menjadi kebimbangan,” menurut polis, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan para pengendali pengangkutan awam untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penumpang.

Penipuan fizikal pulak merosot lebih 400 kes dalam dua kategori jenayah secara amnya – pecah rumah, pencurian dan jenayah-jenayah berkaitan.

Polis menyatakan bahawa bilangan aduan bagi kes berkaitan rompakan, pecah rumah dan pencurian pada suku pertama tahun ini adalah yang paling rendah sepanjang 10 tahun dengan hanya 75 kes.

PENIPUAN S$168 JUTA

Perangkaan daripada polis menunjukkan bahawa jumlah wang yang ditipu dalam 10 jenis kes penipuan, yang paling banyak menerima aduan, naik lebih seganda kepada S$168 juta pada separuh pertama 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu S$63.5 juta.

Khususnya, penipuan hutang, penipuan e-dagang, penipuan pelaburan dan penipuan pekerjaan antara yang “membimbangkan” kerana ia membentuk lebih 54.8 peratus daripada 10 jenis penipuan yang paling banyak dilaporkan.

Jumlah keseluruhan penipuan yang dilaporkan bagi keempat-keempat jenis penipuan itu naik 34.9 peratus, menurut polis.

“Para penipu sentiasa mengubah taktik dan memanfaatkan situasi COVID-19 untuk menipu mangsa kerana mereka lebih mudah ditipu dan sedang berasa tidak menentu,” tambah polis.

Penipuan hutang pula menyumbang kepada jumlah kes paling tinggi yang dilaporkan pada separuh pertama tahun ini dengan 1,243 kes – naik 55.4 peratus berbanding 800 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah yang ditipu pula meningkat kepada S$10.6 juta, naik hampir seganda berbanding S$5.6 juta pada separuh pertama 2020.

KENAIKAN KETARA PENIPUAN KERJA, PELABURAN

Penipuan pelaburan dan pekerjaan antara lima penipuan paling banyak dilaporkan.

Kedua-duanya mencatat kenaikan besar dalam jumlah kes yang dilaporkan berbanding tahun sebelumnya.

Penipuan pelaburan bertambah dua kali ganda kepada 1,054 daripada 351 kes pada enam bulan pertama 2020. Jumlah yang ditipu secara keseluruhannya meningkat lebih dua kali ganda kepada S$66.2 juta.

Bagi penipuan pekerjaan pula, bilangan kes melonjak naik kepada 658, lebih 15 kali ganda berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, S$6.5 juta ditipu melalui penipuan pekerjaan tahun ini, kenaikan ketara berbanding S$60,000 yang ditipu pada 2020.

Jumlah penipuan e-dagang pula merosot berbanding tahun lalu tetapi ia tetap membentuk kes kedua paling banyak dilaporkan tahun ini dengan 1,141 kes.

Platform paling banyak berlaku penipuan sedemikian termasuk Carousell, Facebook dan Shopee manakala barangan yang selalunya dijual beli adalah barangan elektronik dan barangan berkaitan dengan permainan, dedah polis.

USAHA ANTIPENIPUAN

Polis menyatakan lebih 7,400 aduan membabitkan kehilangaan lebih S$201.7 juta dirujuk kepada Pusat Antipenipuan pada separuh pertama tahun ini. Berdasarkan aduan-aduan itu, pusat tersebut membekukan lebih 5,400 akaun bank dan mendapat kembali lebih S$66 juta daripada sekitar 32.7 peratus jumlah yang ditipu.

“ASC juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat telko tempatan untuk membatalkan talian telefon bimbit yang didapati digunakan dalam penipuan-penipuan dan platform-platform media sosial untuk memadamkan akaun-akaun dan iklan-iklan yang meragukan,” menurut polis.

Lebih 1,200 daripada talian telefon bimbit tempatan itu digantung dan lebih 430 akaun atau iklan meragukan dipadam pada separuh pertama 2021, tambah polis.

Selain itu, polis juga menyatakan pusat tersebut juga memanfaatkan teknologi untuk mengesan trend-trend penipuan merata negara dan “memahamkan” data yang diterima setiap hari.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa para pengendali perniagaan serta anggota masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membanteras jenayah.

“Semua orang memainkan peranan dalam memastikan Singapura selamat, terutama sekali dalam tempoh tidak menentu ini,” menurut polis.

“Para pengendali perniagaan seperti bank-bank, pemilik platform digital dan syarikat telko bertanggungjawab untuk mencegah, mengelak dan mengesan jenayah yang dilakukan menerusi platform-platformnya,” tambah polis sambil menggesa para peniaga itu agar menguatkuasakan langkah-langkah antipenipuan bagi menjamin keselamatan para pengguna.

Anggota keluarga dan sahabat-handai juga boleh memainkan peranan dengan bersikap waspada tentang situasi jenayah dan mencegah orang-orang di sekeliling mereka daripada menjadi mangsa jenayah, nasihat pihak berkuasa.

– CNA/SM/sm

Berkaitan ⇢