COVID-19: 103 kes baharu, vaksinasi cecah 10,000 orang sehari

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN  – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 103 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 2,565 orang, manakala program vaksinasi negara menyaksikan jumlah vaksinasi sehari mencecah 10,000 kelmarin.

“Terdapat 54 tambahan kes-kes baharu kepada 11 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada sidang media COVID-19 hari ini.

Menurutnya lagi, 49 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Manakala pengesanan kontak bagi semua kes baharu masih giat dijalankan dan kontak-kontak terdekat dikenal pasti diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan seramai 61 pesakit telah sembuh, membawa jumlah keseluruhan kes yang sembuh kepada 725 dan terdapat 1,829 kes aktif di negara ini.

Dalam kalangan kes-kes aktif, tujuh dalam keadaan kritikan dengan enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala seorang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

 

Sementara itu, 28 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi.

Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,169 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 227,030 ujian.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada 28 Ogos, Program Vaksinasi Kebangsaan telah mencatatkan penerima suntikan vaksin terbanyak iaitu 10,826 orang.

“Setakat ini, 19.4 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19. Saya menyeru kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini bagi bersama-sama menyahut usaha kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk di negara ini mendapatkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan semua,” tambahnya.

Bagi maklumat lanjut orang ramai bolehlah melayari laman web www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth, menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: [email protected]

Berkaitan ⇢