Snek sedap ‘lubuk’ pelbagai penyakit

|

views

RATA-RATA ramai gemar menikmati makanan ringan atau snek khususnya pada waktu senggang, menonton televisyen dan ketika membuat kerja menggunakan komputer peribadi atau melayan gajet.

Norma baharu kebanyakan individu bekerja dari rumah (BDR), berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mengubah corak pemakanan mereka yang gemar mengambil snek.

Snek sebagai makanan segera dan terproses ini lazimnya tinggi lemak, gula, garam, monosodium glutamate (MSG) seperti biskut, keropok dan kerepek ini menjadi ‘perangkap’ pelbagai jenis penyakit.

Meskipun makanan itu sedap, tetapi ia tidak mempunyai nutrien, vitamin dan mineral yang penting untuk meningkatkan daya imuniti badan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, pengambilan berterusan akan menyebabkan berat badan naik dan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, sekali gus mengakibatkan strok.

Lebih banyak masa dihabiskan di rumah mendorong leka makan sesuka hati dan kurang bergerak aktif.

“PKP sememangnya menyebabkan perubahan gaya hidup dan corak pemakanan seseorang,” katanya.

Ubah corak pemakanan

Beliau yang juga pakar pemakanan Klinik Metabolik Obesiti Hospital Pengajar UPM, berkata tekanan disebabkan terlalu lama berada di rumah antara faktor menyumbang perubahan corak pemakanan.

Bebanan kerja yang banyak, selain memantau jadual ketat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak setiap hari turut menambah tekanan.

“Apabila tertekan individu cenderung memilih snek tinggi gula dan karbohidrat sekali gus menghasilkan hormon serotonin yang boleh menimbulkan ‘mood’ positif buat jangka masa pendek.

“Selepas mengambil makanan tinggi gula dan karbohidrat, ‘mood’ seseorang akan bertambah baik sementara waktu, Tetapi pengambilan makanan itu akan menjadi tabiat dan

makanan manis sering membuatkan kita tidak puas serta mahukan lebih lagi,” katanya.

Risiko dapat penyakit tidak berjangkit

Pengambilan terlalu banyak makanan itu menyebabkan obesiti, selain mudah terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan kolesterol.

Justeru, kajian mendapati satu daripada dua rakyat di negara ini mengalami obesiti manakala satu daripada lima mengalami diabetes.

“Jika corak pemakanan tidak dijaga ia akan memudahkan seseorang mendapat penyakit kronik.

“Negara ini sudah mencatat kadar penyakit kronik yang tinggi sebelum ini dan ia berpotensi terus meningkat sepanjang pelaksanaan PKP jika masyarakat tidak peka dengan corak pengambilan makanan sihat,” katanya.

Barakatun Nisak berkata, ada berpandangan snek adalah makanan atau minuman ringan diambil antara waktu makan utama, sudah menjadi kebiasaan.

“Seseorang itu, boleh mengambil makanan ringan, tetapi pilihlah snek sihat seperti buah-buahan kerana boleh mengurangkan rasa lapar dan membekalkan tenaga sebelum tiba waktu hidangan utama.

“Ini amat bermanfaat terutama untuk kanak-kanak sedang membesar, ibu mengandung dan warga emas,” katanya.

Meningkatkan risiko kanser

Snek ini juga mengandungi bahan pengawet dalam makanan terproses, iaitu Nitrosamine yang boleh menyebabkan perubahan kepada asid deoksiribonukleik (DNA) seseorang dan seterusnya berisiko mendapat penyakit kanser usus.

“Nitrosamine boleh menyebabkan kerosakan kepada sel DNA. Sel rosak yang tidak dibaiki akan bermutasi dan menyebabkan pembentukan jujukan DNA tidak normal sekali gus meningkatkan risiko kanser.

“Kajian di Barat menunjukkan pengambilannya sebanyak 50 gram daging terproses (sebesar kotak mancis) setiap hari, boleh meningkatkan risiko kanser usus sebanyak 17 peratus,” katanya.

Beliau tidak menafikan pengambilan snek tidak sihat memberi kesan terhadap perkembangan tumbesaran awal kanak-kanak.

Pada usia itu, sepatutnya pemakanan sihat amat penting untuk menggalakkan perkembangan otak dan minda kanak-kanak secara optimum.

“Pengambilan snek tidak sihat akan menyebabkan kanak-kanak cepat kenyang dan enggan memakan buah, sayuran dan produk tenusu yang penting untuk tumbesaran otak.

“Jika corak pemakanan ini berterusan, anak-anak akan kekurangan zat penting dan sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan mereka,” katanya.

Beliau berkata, masih tidak terlambat ibu bapa mengubah tabiat pemakanan anak.

“Ia boleh dilakukan dengan memperkenalkan mereka kepada snek sihat dan memenuhkan stok makanan di rumah dengan buah-buahan, sayuran serta produk tenusu.

“Dengan perlahan-lahan kurangkan makanan terproses dan mi segera. Beritahu anak kepentingan mengambil makanan sihat dan ibu bapa perlu lebih cakna dalam hal ini,” katanya,

Jadual pemakanan anak penting dan boleh diamalkan terutama sepanjang pelaksanaan PKP dan PdPR.

“Tetapkan jadual hidangan utama hanya tiga kali sehari dan maklumkan anak, dapur ‘ditutup’ selepas 9 malam.

“Jika lapar, mereka boleh menikmati snek sihat seperti segelas susu, manakala kek dan biskut selepas waktu itu,” katanya.

Amalan piramid makanan

Justeru, konsep makanan sihat untuk setiap peringkat usia perlu berdasarkan piramid pemakanan yang mencakupi sayur, buahan, bijirin, protein, susu dan produk tenusu.

Pengambilan makanan ini perlu seimbang dan didasarkan kepada tiga konsep utama iaitu kepelbagaian keseimbangan dan kesederhanaan.

Jika dilihat kajian membabitkan 2,000 penduduk di United Kingdom (UK), menunjukkan perintah sekatan pergerakan bagi menangani COVID-19 juga menyebabkan perubahan negatif kepada corak pemakanan dan aktiviti fizikal masyarakat di negara itu.

Lebih separuh rakyat mereka mengambil snek lebih kerap sepanjang tempoh itu berbanding sebelum ini selain berdepan kesukaran dalam menguruskan berat badan.

Kajian diterbitkan jurnal Appetite itu, menyatakan motivasi bagi mengawal pengambilan dan membuat pemilihan makanan sihat disifatkan sebagai sukar dilakukan ketika perintah sekatan.

Info

Snek sihat

* Snek didefinisikan makanan dan minuman ringan diambil di antara waktu makan utama

* Sayur, serat, hidangan berprotein (telur, produk tenusu)

* Makanan rendah kandungan gula, lemak dan garam.

Berkaitan ⇢