Xiaomi lancar Redmi 10 dengan skrin 90Hz, harga tidak semurah dahulu

|

views

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Xiaomi hari ini melancarkan model terbaru untuk siri telefon pintar paling mampu dimiliki ramai, Redmi 10. Telefon pintar yang pertama kali dilancarkan di peringkat antarabangsa ini, akan mula dijual di Malaysia pada bulan ini juga.

Bagaimanapun, mungkin peminat akan sedikit kecewa dengan pelancaran produk baru Xiaomi. Ini kerana Redmi 10 tidak lagi memiliki harga permulaan yang sama rendah seperti model-model Redmi sebelum ini. Harga jualan Redmi 10 di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Redmi 10 (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM649
  • Redmi 10 (RAM 6GB + Storan 218GB) – RM749

Tiada lagi Redmi baru dibawah RM500, malah harga permulaannya melebihi RM600 pula. Xiaomi Malaysia juga tidak mengumumkan sebarang promosi untuk jualan hari pertama.

Orang ramai boleh mendapatkan Redmi 10 di Malaysia bermula Jumaat ini, 20 Ogos 2021 daripada Stor Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta daripada Mi Store dan pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia.

Redmi 10 ditawarkan dalam tiga warna: Kelabu, Putih dan Biru. Dengan ketibaan Redmi 10 ini, menjadikan jurang harga antara Redmi Note 10 semakin kecil. Jadi pengguna mungkin akan berasa semakin sukar untuk memilih antara kedua-duanya.

Spesifikasi

Kuasa di Redmi 10 kini menggunakan cip baru Mediatek Helio G88, sebuah cip yang dinaik taraf daripada Helio G80. Ia datang bersama RAM sehingga 6GB dan storan sehingga 128GB, serta menerima kad mikroSD sehingga 512GB untuk menambah ruang storan.

Naik taraf terbesar di Redmi 10 adalah di skrin, kini dengan kadar penyegaran 90Hz. Ia masih dengan skrin LCD berukuran 6.5-inci HD Penuh. Telefon ini turut ditambah pembesar suara stereo, yang menembak ke tepi sambil mengekalkan jek audio 3.5mm padanya.

Di ruang kamera, terdapat tiga kamera belakang di Redmi 10 iaitu kamera utama 50MP F1.8, kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera makro 2MP F2.4 dan kamera potret 2MP F2.4. Di hadapan, ia dipasang kamera 8MP F2.4 yang terletak di dalam lubang di dahi skrin.

Bateri pula masih kekal berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengeasan pantas 18W USB-C. Tetapi Xiaomi membekalkan kepala pengecas 22.5W di dalam kotak. Di samping itu, pemancar infra merah yang unik pada telefon Xiaomi juga masih ada di Redmi 10.

Berkaitan ⇢