Seramai 39 mangsa banjir di membakut dipindahkan ke PPS

|

views

BEAUFORT  — Seramai 39 orang mangsa banjir daripada 13 keluarga di Kampung Brunei, Membakut, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Dewan DSP Mohd Dun Banir di sini setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Beaufort dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa berkenaan mula dipindahkan lewat petang semalam selepas kampung mereka dinaiki air.

“Hujan yang turun sejak 1 Sept lepas terutamanya di kawasan Ulu Membakut menyebabkan paras air Sungai Membakut naik sehingga menyebabkan kampung di pinggir sungai dinaiki air,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jalan raya utama ke Kota Kinabalu-Beaufort-Sipitang masih boleh dilalui semua jenis kenderaan, namun di Beaufort dan Membakut terdapat jalan yang terjejas dan tidak boleh dilalui.

Di Beaufort jalan yang terlibat ialah Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Suasa dan Jalan Kampung Kangsa, manakala di Membakut jalan yang terjejas antaranya Jalan Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Simpang Kampung Poring, Kampung Baitam dan Jalan Kampung Lampijas.

Sejak semalam, sebanyak 60 kampung di dua daerah negeri ini, meliputi 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, terjejas akibat banjir apabila hujan turun tanpa henti lebih 48 jam sejak lewat petang Selasa.

Berkaitan ⇢