BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini telah berjaya diberkas oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam operasi yang dikenali sebagai Operasi Black Widow di Daerah Belait pada 27 Ogos lalu.
Seorang daripada yang ditahan di bawah umur 18 tahun dan didalangi oleh dua adik-beradik perempuan yang berumur 41 dan 33 tahun.Turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah wang tunai berjumlah $19,942, lima buah kereta, perabot-perabot rumah, barangan kemas, beberapa buah telefon bimbit dan lesen-lesen memandu yang kosong disyaki sebagai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Kesemua suspek telah ditahan bagi siasatan BKN di bawah kesalahan-ke-salahan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Hasil Jenayah 2012 atas kesalahan pembersihan wang haram; Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal; Seksyen 6 (a) (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal; Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN, tujuan operasi tersebut dijalankan adalah untuk menghapuskan sindiket dadah rangkaian keluarga.

Pihak BKN juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi perisikan keselamatan, penguatkuasaan dan kementerian-kementerian di negara ini atas bantuan dan kerjasama yang diberikan ke arah menjayakan operasi ini.