Keputusan gabung Yale-NUS, Program Sarjana Universiti dipertimbang dengan amat teliti

|

views

SINGAPURA: Keputusan untuk menggabungkan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti (USP) untuk membentuk sebuah kolej baru adalah sesuatu yang “sudah dipertimbangkan dengan amat teliti”, menurut Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Jumaat (3 Sep).

Pembentukan kolej baru itu mengambil kira “visi lebih meluas” universiti tersebut dan rancangannya untuk “meluaskan lagi akses kepada pendidikan sastera liberal”, kata seorang jurucakap ketika menjawab pertanyaan Mediacorp tentang penggabungan berkenaan.

NUS mengumumkan pada 27 Ogos bahawa kolej itu dan USP akan digabungkan menjadi satu kolej baru mulai 2022. Ini bermakna Kolej Yale-NUS akan “ditutup” pada 2025, menurut Universiti Yale di lamannya selepas pengumuman tersebut.

Pada hujung Jun, NUS mengadakan rundingan bersama pengerusi Lembaga Pemegang Amanah NUS dan Kementerian Pendidikan (MOE) tentang penggabungan itu dan kedua-dua pihak menyokong usulan tersebut, dedah jurucakap NUS berkenaan.

NUS kemudian secara rasmi memulakan perbincangan bersama Universiti Yale pada awal Julai tentang penggabungan itu.

“Universiti Yale maklum tentang rancangan NUS dan menyatakan bahawa ia adalah hak NUS (untuk meneruskan penggabungan) di bawah perjanjian tersebut,” tambah jurucakap NUS tersebut.

“Selepas itu, Jawatankuasa Eksekutif Yale-NUS mengadakan perbincangan tentang pelan peralihan berkenaan sehingga awal Ogos 2021.”

Lembaga NUS diberi taklimat pada awal Ogos dan pelan-pelan peralihan kemudian ditandatangani oleh lembaga tadbir urus Yale-NUS pada bulan yang sama.

“Sejak pengumuman pada Jumaat lalu, kami bekerjasama dengan Yale-NUS dan USP untuk mendampingi para kakitangan, fakulti, mahasiswa dan alumni untuk menjawab keprihatinan dan pertanyaan mereka. Ini akan terus menjadi keutamaan kami,” kata jurucakap itu.

Beliau menambah bahawa jawatankuasa perancangan kolej baru itu, yang akan termasuk wakil-wakil fakulti dan mahasiwa daripada Kolej Yale-NUS dan USP, sedang membangunkan perancangan bagi kolej baru tersebut. Lebih banyak perincian akan didedahkan dalam “bulan-bulan mendatang”.

Kolej baru itu akan dibuka bagi pengambilan kohort pertama sehingga 500 mahasiswa pada tahun akademik 2022. Para mahasiswa USP sekarang ini akan dipindahkan ke kolej baru itu pada tahun yang sama.

Para mahasiswa yang memasuki Yale-NUS pada tahun akademik 2021 akan membentuk kumpulan terakhir mahasiswa kolej tersebut, yang akan tamat pengajian pada 2025.

Jurucakap NUS itu berkata pada Jumaat bahawa pembentukan kolej baru tersebut adalah sebahagian daripada rancangan perjalanan NUS untuk “menawarkan pendidikan fleksibel dan antara disiplin yang lebih mudah diakses pada skala yang lebih besar”.

Rancangan itu bermula dengan pembentukan Kolej Kemanusiaan dan Sains, tambah jurucakap itu.

“Visi kami adalah untuk kolej baru itu mengekalkan ciri-ciri terbaik kedua-duanya termasuk budaya unik, ciri dan keakraban kedua-dua masyarakat serta pengalaman pendidikan inovatif dan kurikulum yang jelas berlainan,” ujar beliau.

– CNA/SM/sm

Berkaitan ⇢