BANDAR SERI BEGAWAN  – Kementerian Kesihatan menegaskan semua kit ujian yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen-ejen mestilah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak kementerian sebelum ia dijual kepada orang ramai.Ini adalah bagi memastikan sumber kit ujian tersebut diiktiraf selain mempunyai kawalan kualiti dalam pembuatan, keberkesanan dalam mengesan virus COVID-19.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini, menyatakan hanya empat kit ujian yang telah diluluskan oleh pihaknya dan pada masa yang sama pihak kementerian sedang meneliti beberapa kit ujian COVID-19 yang lain.

Pihak kementerian juga akan menilai pembuatan kit ujian yang dibawa masuk memenuhi piawaian antarabangsa dan kajian serta ujian yang telah dibuat sekali gus menunjukkan keberhasilan atau kualiti keputusan terhadap kit ujian tersebut.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyeru para ejen dan orang ramai yang membawa masuk kit ujian yang belum dinilai agar tampil ke hadapan membawa kit ujian tersebut ke Kementerian Kesihatan untuk dinilai.