BANDAR SERI BEGAWAN – Lebih awal mendapatkan dos kedua vaksin akan dapat melindungi diri, lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan penularan komuniti.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyatakan perkara berkenaan semasa mengulas persoalan mengenai keberkesanan dos kedua yang dipercepatkan pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, pengambilan dos kedua vaksin lebih awal melihat kepada dua perkara iaitu akses kepada vaksin dan tahap penularan dalam komuniti.

Beliau berkata, jika menunggu 12 minggu (untuk menerima vaksin dos kedua) dan mereka terdedah kepada orang yang dijangkiti, dengan hanya mempunyai satu dos suntikan, keberkesanannya (vaksin) adalah rendah.

Adalah perlu untuk mendapatkan dos kedua dengan secepatnya kerana melihat kepada penularan dalam kalangan komuniti di negara ini.

“Disebabkan di kepulauan Borneo terutama Sabah dan Sarawak berhadapan dengan Delta dan untuk melindungi orang awam adalah dengan memberikan dos suntikan penuh lebih awal,” tambahnya.