Rumah tangga dilanda badai, peguam bunuh diri

|

views

SIBU – Seorang peguam menemui ajal selepas terjun dari tingkat 22, Wisma Sanyan di sini, dipercayai kerana mengalami depresi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, mangsa, Wee Wui Kiat, 42 ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan tempat letak kereta bangunan berkenaan pada jam 1.40 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan mendapati Wui Kiat mengalami kemurungan selepas berpisah dengan isterinya yang juga seorang peguam di Kuching.

“Keterangan daripada saudara mara dan rakan mangsa memberitahu, dia mengalami depresi selepas rumah tangganya berdepan masalah hingga mengakibatkan perceraian,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kes itu pada jam 1.30 tengah hari.

“Pada masa kejadian terdapat, enam petugas sedang berehat di tempat kerja masing-masing dan tidak perasan kehadiran mangsa di lokasi kejadian.

“Mangsa jatuh di atas jalan raya di depan bangunan itu dan mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stanley berkata, siasatan awal tidak menjumpai sebarang unsur khianat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Berkaitan ⇢