COVID-19: Thailand masih bebas varian Mu

|

views

BANGKOK  — Thailand masih bebas daripada varian baharu dikenali “Mu” ketika varian Delta terus menjadi dominan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Supakit Sirilak berkata varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, telah merebak ke seluruh negara.

Data menunjukkan varian Delta mencatat 97.6 peratus kes COVID-19 di Bangkok dan 84.8 peratus kes di wilayah lain, tambahnya.

Beliau berkata setakat ini varian C.1.2 belum dikesan di negara ini, varian yang telah mencatatkan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada kes COVID-19 di Afrika Selatan.

“Tidak ada bukti yang disahkan mengenai kemampuan kedua-dua varian (varian Mu dan C.1.2) untuk merebak lebih cepat atau mengurangkan kecekapan vaksin COVID-19. Oleh itu, tidak perlu panik dan kami akan senantiasa pantau situasi itu,” katanya, seperti dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan memberi vaksin COVID-19 kepada warga Thailand berusia 12-18 tahun yang mempunyai masalah kesihatan, mulai 21 September.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang mengatakan pelajar di 437 sekolah di bawah bidang kuasa BMA akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech di Universiti Navamindradhiraj di daerah Dusit.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatat 13,821 kes baharu COVID-19 dan 241 kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 1,308,343 dan 13,283 korban setakat ini.

Berkaitan ⇢