Pahang tunggu lampu hijau MKN untuk buka sektor pelancongan

|

views

Kerajaan negeri Pahang masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuka beberapa destinasi pelancongan strategik di negeri ini. 

Exco Pelancongan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kerajaan negeri telah bersedia melaksanakan gelembung pelancongan di lokasi berkenaan.

“Kita difahamkan hanya pelancongan dalam negeri dibenarkan pada peringkat awal pembukaan semula sektor pelancongan, namun tetap sangat dialu-alukan.

“Ini setidak-tidaknya dapat membantu pemain industri yang lama terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang COVID-19 2021 kepada pemandu bot dan pemandu pelancong daerah Kuantan di Pejabat Tourism Pahang, di sini hari ini.

Majlis yang diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu melibatkan kehadiran 25 wakil daripada180 penerima sumbangan.

Beliau berharap penduduk di Pahang dapat bekerjasama dengan segera mendapatkan vaksin COVID-19 bagi memastikan lebih banyak sektor terutamanya pelancongan dibenarkan beroperasi semula.

Mohd Sharkar berkata antara lokasi pelancongan yang penduduknya sudah lengkap divaksin ialah Pulau Tioman, Taman Negara, Genting Highlands dan Janda Baik.

Berkaitan ⇢